Fungsi-fungsi Parlimen
Pengenalan
Malaysia
mengamalkan sistem Demokrasi Berparlimen di bawah pentadbiran Raja
Berperlembagaan dengan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong sebagai
Ketua Negara. Perlembagaan negara telah digubal dengan mengadakan
syarat-syarat untuk pengalaman sistem ini. Salah satu syarat sistem
Demokrasi Berparlimen adalah pembahagian kuasa kepada tiga bahagian di
dalam pemerintahan, iaitu Perundangan, Kehakiman dan Pentadbiran atau
Eksekutif.
Malaysia
juga merupakan sebuah negara yang mengamalkan sistem Demokrasi
berasaskan kepada sistem Persekutuan. Sehubungan dengan itu, ia bermakna
negeri-negeri Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak , Selangor, Negeri
Sembilan, Melaka, Johor, Pahang, Terengganu, Kelantan, Sarawak dan Sabah
telah bersetuju dengan konsep penubuhan Negara Malaysia.Setiap negeri
yang terbabit telah menyerahkan sebahagian kuasa masing-masing, seperti
kewangan, pertahanan, pelajaran, luar negara dan lain-lain lagi seperti
mana yang telah tercatat di dalam Perlembagaan Malaysia yang di tadbir
oleh Kerajaan Pusat. Ada perkara-perkara yang dijadikan kuasa negeri dan
negeri akan mentadbirkan kuasa.
Sebagai
sebuah negara Raja Berperlembagaan, maka diperuntukan oleh Perlembagaan
institusi Yang Di-Pertuan Agong, Raja-raja Melayu di sembilan buah
negeri dan Majlis Raja-raja. Baginda adalah diberi kuasa untuk
memelihara adat istiadat orang Melayu dan Pentadbiran Agama Islam di
negeri masing-masing. Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong adalah
Ketua Agama Islam bagi negeri-negeri Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, dan
Wilayah-wilayah Persekutuan. Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong
juga menjadi Kepala Utama Negara dan Baginda adalah Pemerintah Tertinggi
Angkatan Tentera Negara. Baginda akan menjalankan tugas-tugas dibawah
Perlembagaan mengikut nasihat Perdana Menteri atau Jemaah menteri .
Raja-raja pula menjadi Ketua Negeri masing-masing dan menjalankan tugas
mengikut nasihat Menteri-menteri Besar atau Ketua-ketua Menteri.
Struktur Parlimen Malaysia
Parlimen Malaysia terdiri daripada tiga komponen:-
1. Yang Di-Pertuan Agong
2. Dewan Negara
3. Dewan Rakyat
Sejarah Bangunan Parlimen
Pada
bulan Disember 1959, suatu kawasan berhampiran Taman Bunga Kuala Lumpur
telah dipilih sebagai tapak untuk membina Kompleks bangunan Parlimen,
bangunan yang menjadi simbol kepada dasar-dasar demokrasi yang
diamalkan. Dasar-dasar ini pula merupakan hak dan tanggungjawab rakyat
memerintah negara mereka sendiri, kebebasan setiap rakyat menyatakan
pendapatnya, kebebasan menganut agamanya, keadilan hak yang sama di sisi
undang-undang dan hal memiliki harta benda.
Maka
pada September 1962 sebuah bukit pada paras 61 meter dari aras laut
telah diratakan untuk pembinaan bangunan penuh gemilang ini. Kompleks
yang menelan belanja RM18 juta ini adalah hasil ilham Yang Teramat Mulia
Tuanku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Perdana Menteri Malaysia Pertama.
Perletakan
batu asas telah dilakukan oleh Duli Yang Teramat Mulia Sri Paduka
Baginda Yang Di-Pertuan Agong, Persekutuan Tanah Melayu Yang Ketiga,
Tuanku Syed Putra Al-Haj Ibni Al-Marhum Syed Hassan Jamalullail D.S.M,
S.M.N. DK (BRUNEI) pada 31 Ogos 1962 bersamaan 1 Rabiulakhir 1382
seterusnya menandakan kerja-kerja pembinaan telah dimulakan. Pada 21
November 1963 Baginda sekali lagi diberi penghormatan untuk merasmikan
pembukaan bangunan ini. Kompleks ini terdiri daripada dua bahagian
terbesar iaitu :-
a. Bangunan Ibu (3 tingkat)
b. Menara (17 Tingkat)
Bangunan Ibu
Bangunan
3 tingkat ini disebut juga sebagai Bangunan Utama. Di dalam bangunan
inilah dua dewan persidangan negara iaitu Dewan Rakyat dan Dewan Negara
dibina.
Di
tingkat pertama dibina kantin berhampiran bilik wartawan dan juga bilik
jamuan Ahli-ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara bagi memudahkan
pegawai-pegawai, wartawan-wartawan dan tetamu yang hadir ketika
persidangan Parlimen untuk makan dan minum.
Reka
bentuk Dewan Negara adalah sama dengan Dewan Rakyat tetapi ruangnya
kecil sedikit. Bagaimanapun Dewan Negara mempunyai keistimewaannya
tersendiri. Jendela-jendelanya lutsinar dengan corak Islam asli daripada
mozek merah dan biru.
Di
tingkat bawah bangunan ini pula terletak bilik rehat diraja, sebuah
surau bulat yang boleh memuatkan 100 jemaah dan sebuah dewan jamuan
besar yang boleh memuatkan 500 orang. Saiz dewan Rakyat di atasnya.
Di
tingkat kedua pula terdiri daripada dua anjung yang berasingan. Di
anjung kiri terdapat dua buah bilik jawatankuasa yang besar. Tiap-tiap
bilik mampu memuatkan 30 orang. Selain daripada dua bilik besar terdapat
empat bilik kecil yang boleh memuatkan 12 orang. Terdapat juga
pejabat-pejabat dan tempatberehat bagi pegawai-pegawai kerajaan serta
Persatuan Parlimen Komanwel.
Di
anjung kanan terdapat dua bilik makan. Satu bilik khusus untuk
Ahli-ahli Parlimen dan yang lainnya untuk tetamu-tetamu serta
pegawai-pegawai kerajaan. Ruang dapur terletak di antara dua bilik makan
ini. Dapur ini mampu menyediakan makanan bagi 1000 orang tetamu dalam
satu masa. Bahagian tengah tingkat kedua ini diselubungi oleh bumbung
Dewan Rakyat. Ia dijadikan Taman Sari iaitu tempat Ahli-ahli Parlimen
berehat semasa persidangan.
Menara
Menara
setinggi 17 tingkat ini terletak di hadapan bangunan ibu, Ia bersambung
ke bangunan utama melalui sebuah jambatan dan di dalamnya ditempatkan
pejabat para menteri dan ahli -ahli Parlimen yang lengkap dengan segala
kemudahan seperti kerusi meja dan pembesar suara ketika sesuatu
persidangan berlangsung.Di tingkat dua menara ini terdapat ruang tempat
duduk yang menghala ke arah permandangan padang perbarisan dimana acara
sambutan rasmi Parlimen diadakan. Di tingkat enam belas pula terdapat
ruang lapang yang menghala ke arah keindahan permandangan sekeliling
kawasan Parlimen. Di menara inilah majlis-majlis tidak rasmi diadakan.
Keistimewaan Bangunan Parlimen
Keseluruhan
bangunan Parlimen ditutupi dengan kaca yang boleh menyerap haba dan
meresapkan cahaya. Kawalan terhadap sinaran matahari dilakukan dengan
menutup seluruh bangunan ini dengan terawang berukir yang diperbuat
daripada batu konkrit tempatan dan dipasang bahagian demi bahagian.
Terawangyang berbentuk sarang lebah itu menambahkan lagi kehebatan
bangunan ini.
Pada
keseluruhannya lebih daripada sejuta batu-bata, 2,000 tan besi waja,
54,000 tan konkrit, 200,000 kampit simen dan 3000 tan kaca telah
digunakan untuk membina kompleks Parlimen.
Sistem
pembahagian air yang membekalkan air kolam dan pancurannya merupakan
satu lagi ciri keistimewaan bangunan Parlimen di mana air akan mengalir
melalui dua sistem yang berangkai. Ia bermula di bahagian bumbung
bangunan membawa ke seluruh kompleks. Airnya pula diwarnakan dengan
warna biru untuk menjauhkan lumut dan lumpur.
Selain
daripada keistimewaan pada bangunannya, kompleks Parlimen turut dihiasi
dengan berbagai-bagai jenis tumbuhan dan binatang peliharaan.
Pohon-pohon kayu yang jarang ditemui seperti pohon berlian, mata
kuching, berangan, nam-nam, selarat dan pohon tamar diimpot khas dari
Arab Saudi untuk dipelihara di kawasan sekitar.
Di
sebelah kawasan kompleks Parlimen terdapat kawasan lapang yang
dijadikan Taman Rusa yang menjadi tempat pemeliharaan berpuluh-puluh
ekor spesis rusa Tootal. Spesis rusa ini sememangnya jarang didapati di
benua Asia. Rusa-rusa ini dibiarkan bergerak bebas di dalam kawasan
lapang taman yang dibatasi oleh sempadan kompleks Parlimen.
Fungsi Parlimen
Parlimen
adalah badan perundangan bagi kerajaan persekutuan, dan ia membuat
undang-undang yang boleh dikuatkuasakan di seluruh negara.
Parlimen
meluluskan undang-undang persekutuan, membuat pindaan kepada
undang-undang persekutuan yang ada, memeriksa dasar-dasar kerajaan,
meluluskan perbelanjaan kerajaan dan meluluskan hasil-hasil cukai yang
baru.
Parlimen juga menjadi forum kritikan dan fokus pendapat awam mengenai perkara-perkara nasional.
Bagi
membolehkan Parlimen menjalankan tanggungjawabnya dengan sepenuhnya dan
dengan lebih berkesan, Perlembagaan telah memperuntukkan beberapa hak
dan pengecualian yang dipanggil "Keistimewaan Ahli-ahli Parlimen" di
dalam Dewan. Keistimewaan ini terpakai bagi kedua-dua Dewan secara
keseluruhannya, dan untuk ahli-ahli Parlimen secara individu.
Kedua-dua
Dewan berkuasa untuk menggubal prosedur masing-masing, mempunyai kuasa
mutlak atas prosiding masing-masing, dan kuasa-kuasa ini tidak boleh
dicabar di dalam mana-mana mahkamah, dan Dewan boleh mengenakan hukuman
ke atas pelanggaran hak keistimewaan atau "contempt" di dalam Dewan
tersebut. Ahli Parlimen adalah terkecuali dari tindakan mahkamah sama
ada sivil atau jenayah bagi apa yang dikatakan atau dilakukannya di
dalam Dewan, dan pengecualian ini diberi juga kepada sesiapa yang
bertindak bagi Dewan itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan